Friday, July 27, 2012

Lompat Tikam

Bahan yang diperlukan:

Badan:
1 cawan tepung beras
3 helai daun pandan
4 cawan air
Sedikit garam

Kisar daun pandan dengan 4 cawan air. Tapiskan.
Bancuh tepung beras dengan air tapisan pandan. Letakkan air sikit-sikit sampai dapat bancuhan yang betul. Bancuhan tepung mestilah cair seperti air susu. Tambahkan garam dan kacau sampai sebati. Masukkan bancuhan dalam periuk dan masak menggunakan api perlahan sampai bancuhan itu menjadi kental dan agak berkilat. Jangan berhenti kacau bancuhan sampai siap. Bila bancuhan dah pekat, tuangkan ke dalam bekas yang sesuai. Sejukkan.

Kuah santan:
2 cawan santan (kepekatan biasa)
1 sudu besar tepung beras
Sedikit garam

Masukkan tepung beras ke dalam santan dan kacau hingga sebati. Masukkan bancuhan ke dalam periuk dan kacau menggunakan api perlahan sampai bancuhan menjadi pekat. Tuangkan ke atas badan yang telah disediakan lebih awal.

Air gula:
2 keping gula manisan (nau)
1/2 cawan air

Masakkan gula dengan air sampai cair. Tapiskan dan sedia untuk dimakan.

Pulut merah:
1/2 cawan beras pulut
Sedikit pewarna merah

Rendam beras pulut dengan pewarna merah selama lebih kurang 2 jam. Tanak pulut dengan air sama paras dengan pulut. Sedia untuk dimakan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                              


Monday, July 23, 2012

Tumis nasi kerabu

Bahannya:

1 kg santan
2 batang serai
1/2 inci lengkuas dihiris nipis
3 labu bawang besar (kisar halus)
15 tangkai cili kering (kisar halus)
2 keping asam keping
4 sudu gula perang
1/2 cawan budu
1 cawan air

Caranya:

Masukkan semua bahan dalam periuk. Didihkan sampai naik minyak. Siap.


Kelapa untuk nasi kerabu


2 mangkuk kelapa parut siap tumbuk halus - lebih kurang dari 3 biji kelapa
(kalau boleh nak putih sahaja) (digoreng sampai kekuningan dan ditumbuk halus)

*2 batang serai
*1 1/2 inci halia
*1 labu bawang besar
*2 sudu besar lada hitam biji

1 cawan isi ikan (kembung, selayang, tongkol hitam) (ditumbuk)
2 sudu besar soft brown sugar
Garam secukup rasa

Caranya:

Tumbuk * sampai lumat. Kalau gunakan pengisar, selepas dikisar, masak sampai kering air sebelum gaulkan dengan kelapa. Kemudian gaulkan dengan semua bahan yang lain. 

Ayam Bakar Uncle Ghuzal

Bahannya:

1 ekor ayam 1 1/2kg dipotong 4 
1 inci kunyit
1 inci halia
2 batang serai (1 kalau gemuk)
5 ulas bawang putih
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar lada hitam (2 sudu besar kalau nak pedas)
4 sudu besar soft brown sugar
1/2 sudu besar garam atau secukupnya

Cara membuatnya:

Kisar semua bahan diatas. Gaul dan perapkan ayam selama sekurang-kurangnya 2 jam. Lagi lama lagi sedap. Perap ayam tu dalam peti sejuk.

Balut ayam dengan aluminium foil. Bakar 1 jam pada suhu 180 C. Selepas 1 jam, buka foil, sapukan baki perapan dan bakar 15 minit lagi. Sedia untuk dimakan. 

Nak lebih sedap, perahkan asam limau sebelum makan. 



Thursday, July 12, 2012

Ayam/Kambing Briyani

Bahan yang diperlukan:

2 ekor ayam / 4 kg kambing
1 kg bawang besar (hiris nipis dan digoreng kekuningan) (minyak goreng bawang disimpan)
5 ulas bawang putih (hiris dan goreng)
5 biji buah tomato (belah 4)
5 biji cili merah (kisar kasar)
5 biji cili hijau (kisar kasar)
2 inci halia (kisar halus)
segenggam daun pudina
secekak daun sup (potong saiz 1 inci)
secekak daun bawang (potong saiz 1 inci)
secekak daun ketumbar (potong saiz 1 inci)
1 botol kecil sos tomato kimball (atau lebih sebab bergantung pada brand yg digunakan)
1 tin susu cair (atau 1 liter susu segar) (lebihkan kalau nak kuah banyak)
1/2 cawan kismis (basuh dan goreng sekejap)
1/2 cawan gajus (basuh dan goreng)
7 biji buah kurma
5 sudu besar rempah briyani (sangai sampai wangi)
1 batang kulit kayu manis
10 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum cengkih
Garam dan gula secukupnya

Cara membuatnya:

Masukkan semua bahan dalam kuali, gaul sampai sebati. Kemudian baru masak atas api sederhana. Kena kacau sentiasa sebab mudah melekat. Jangan lupa masukkan minyak yang digunakan untuk goreng bawang dalam 1/2 cawan.

*Kalau suka pedas, tambah 10 bji cili api yang dikisar kasar.

*Saya suka rebus dulu kambing sampai masak. Masa rebus, letakkan halia yg diketuk dalam 2 inci, garam dan rempah 4 beradik. Nanti masukkan air  dalam 1-2 cawan waktu masak lauk briyani. Lebihan air rebusan boleh buat masak nasi.

Kuzi Kambing

Resepi khas untuk Kak Ini.

Bahan yang diperlukan:

1 kg kambing
3 sudu besar rempah kuzi
10 labu bawang besar (dihiris nipis dan digoreng hingga kekuningan)
2 labu bawang besar *kisar
3 ulas bawang putih *kisar
2 inci halia besar ibu jari *kisar
1/4 cawan tomato puree
1/4 cawan tomato sos
1 tin susu cair (atau susu fullcream)
1/4 cawan santan (yang ni orang Kelantan tak letak tapi memang best kalau letak)
1/2 cawan kismis (digoreng)
1/2 cawan badam/gajus (digoreng)
Garam dan gula secukup rasa

Cara memasak:

Kisar bawang besar, bawang putih dan halia. Campurkan dengan rempah kuzi.
Panaskan minyak dan masukkan rempah. Masak hingga pecah minyak. Masukkan tomato puree.  Kemudian masukkan kambing. (Kalau orang Kelantan, kambing tu digaul garam kunyit kemudian digoreng separuh masak sebelum dimasukkan dalam rempah). Masukkan bawang goreng, susu, garam dan gula. Masak sampai daging empuk. Kalau perlu, tambahkan sos tomato. (Selalunya memang perlu). Bila semua dah sebati, masukkan kismis dan badam. Siap.