Tuesday, September 25, 2012

Laksa Siam Ala Nadiya

Bahan yang diperlukan:

2 mangkuk isi ikan rebus yang sudah dibuang tulang (kembung atau selayang) (Jangan buang air rebusan)
2 sudu besar serbuk kari ikan Adabi (Why Adabi? Sebab nak rasa kari Melayu)
1 cawan cili kering yang telah dikisar dengan bawang besar dan putih (resepi di bawah)
2 batang serai
1 ketul lengkuas sebesar ibu jari (dihiris nipis atau diketuk)
3 helai daun limau purut
1 mangkuk daun kesum
2 kuntum bunga kantan - dipotong empat

Optional:
Isi ikan masin seperti ikan talang kering, direbus dan dikisar. Kalau tak ada isi, tulang pun jadi. Rebus sekali dengan kuah laksa.

1. Rebus ikan dengan asam keping, garam dan gula. Bila ikan sudah masak, keluarkan ikan dan sejukkan. Jangan buang air rebusan ikan. Air rebusan ini akan digunakan untuk membuat kuah laksa. Ambil isi ikan sahaja kemudian dikisar atau ditumbuk.

2. Lebih kurang 30 tangkai digunting kasar untuk membuang biji cili. Rebus cili kering ini. Bila sudah lembut, toskan dan kisar bersama dengan 5 biji bawang besar dan 5 ulas bawang putih.

Cara membuat kuah laksa:

Tumiskan 1 cawan cili kering yang sudah dikisar dengan bawang besar dan bawang putih. Masukkan rempah kari Adabi, lengkuas, serai, daun kesum, daun limau purut dan bunga kantan. Masak sehingga naik bau. Kemudian, masukkan air rebusan ikan secukupnya, ikan yang sudah dikisar, tulang atau isi ikan masin jika suka serta gula dan garam. Biarkan ia merenih selama 20 minit. Rasa gula dan garamnya. Kepekatan kuah lebih kurang sama dengan kuah laksa asam. Ia sesuai dimakan dengan spaghetti atau laksa beras halus.

Laksa ini dimakan dengan bawang besar yang dihiris nipis, cili kering yang digoreng satu-satu, telur rebus, timun atau apa-apa ulam yang kita suka.


No comments: